PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan Pejabat Daerah Samarahan disyaki menyebar surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof direman tiga hari.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, reman terhadap lelaki berusia 32 tahun sehingga esok bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan oleh pihak komersial (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial),” katanya ringkas hari ini.
Terdahulu media melaporkan, pengawal keselamatan Pejabat Daerah Samarahan ditahan berhubung penyebaran surat palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada 15 Oktober lalu, seorang lelaki membuat laporan polis selepas menerima surat tawaran kerja daripada suspek yang mendakwa Pegawai Setiausaha Pejabat di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mangsa dilapor mengenali suspek pada Julai lalu dan meyakinkan bahawa lelaki itu adalah pengiring rapat kepada Timbalan Perdana Menteri.
Mangsa yang yakin dan percaya lalu menyerahkan dokumen iaitu resume termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun bank, sijil akademik, gambar pasport dan penyata gaji bagi tujuan permohonan kerja. – UTUSAN