ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini sementara dua rakan sekerjanya mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mencuri wang tunai RM200,000, minggu lalu.
Tertuduh, Muhd. Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan serentak bersama dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, Muhd. Fairul Fizree bersama-sama Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli sebagai seorang yang diberi kerja sebagai orang gaji telah mencuri wang tunai RM200,000 milik majikan mereka, Syarikat Kawal Wiramas Sdn. Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, Alor Setar kira-kira pukul 10.34 pagi, 19 November lalu.
Pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka dikemukakan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri sementara Muhd. Fairul Fizree diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), H.A. Chuah dan dua lagi tertuduh diwakili Ilyana Syafiqa Md. Saad dan Mohamad Aizuddin Mohamad Nizam.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman terhadap Muhd. Fairul Fizree manakala tarikh 29 Disember ini ditetapkan untuk serahan dokumen terhadap dua lagi tertuduh yang tidak mengaku bersalah.
Siti Nurhidayah turut menetapkan wang jaminan berjumlah RM4,500 terhadap setiap tertuduh terbabit.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan helah tiga lelaki tempatan yang membuat laporan kononnya van keselamatan mereka disamun membawa padah apabila akhirnya ditahan polis.
Ia terbongkar selepas ketiga-tiga suspek terbabit membuat laporan palsu tentang kehilangan guni berisi wang tunai berjumlah RM200,000.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, polis yang melakukan siasatan mencurigai keterangan ketiga-tiga individu itu dalam kejadian terbabit. – UTUSAN