Pengasas ajaran Kumpulan Cahaya dipenjara 45 bulan

Pengasas ajaran Kumpulan Cahaya dipenjara 45 bulan

IDRIS Ami hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah hari ini bagi berdepan tiga pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah sejak bulan September tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengasas ajaran Kumpulan Cahaya dijatuhkan hukuman penjara 45 bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah sejak bulan September tahun lalu.

Tertuduh, Idris Ami, 60, yang merupakan warganegara Singapura membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Sabarudin Bidin.

Sabarudin menetapkan 15 bulan penjara atas setiap satu pertuduhan dan hukuman pemenjaraan dilaksanakan secara berasingan selepas hukuman enam bulan penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selesai dilaksanakan.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang dikenakan ke atas tertuduh adalah selama empat tahun tiga bulan.

Tegas Sabarudin lagi, mengajar tanpa tauliah merupakan satu trend yang sedang berlaku dalam Negeri Sembilan. 

“Tujuan diadakan peraturan dan undang-undang mengajar agama Islam dengan tauliah adalah untuk mengawal serta membendung ajaran yang boleh merosakkan akidah.

“Mahkamah juga sedar apabila umat Islam mempunyai akidah yang salah boleh memporak-perandakan masyarakat kita, keharmonian dan runtuhkan negara,” kata beliau.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar berkaitan agama Islam kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Perbuatan itu dilakukan antara 2 September 2023 hingga 1 Disember di Kampung Sungai Dua Besar di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019 iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon maaf dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu lagi, selain meminta hukuman ringan terhadapnya.

Bagaimanapun, Pendakwa Syarie, Abdul Wafi Ramli dalam hujahannya membantah rayuan yang dibuat tertuduh kerana hukuman tegas perlu dikenakan memandangkan Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) diwujudkan supaya pihak berkuasa dapat menyekat dari awal ajaran bertentangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

“Seolah-olah menjadi tend ajar agama tanpa rauliah. Dalam bulan ini beberapa pertuduhan (ajar agama Islam tanpa tauliah) telah difailkan dan menunjukkan kesalahan ini menjadi satu kesalahan tegar yang perlu dibendung, saya mohon hukuman penjara ketiga-tiga pertuduhan secara berasingan,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, media melaporkan Idris sebagai pengasas Kumpulan Cahaya mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Dia malahan memberitahu, ahli atau pengikut ajaran dikatakan suci dengan penyatuan cahaya dan tidak bernafsu, menyebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya