Penganjur hutang Rabbani puluhan ribu, hilangkan diri - Utusan Malaysia

Penganjur hutang Rabbani puluhan ribu, hilangkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HILANG tanpa sebarang kata maaf. Malah, sempat berpura-pura menjadi mangsa keadaan dengan menuduh artis yang membantunya seperti tiada agama. Itulah peristiwa pahit yang pernah ditelan kumpulan nasyid, Rabbani ketika berhadapan dengan seorang penganjur konsert lapan tahun lalu. 

Mewakili Rabbani ialah ketuanya, Azadan Abdul Aziz, 51, menceritakan perkara itu secara terperinci kepada Utusan Malaysia. Pada awalnya mereka mendapat tawaran mengadakan konsert di sebuah tempat berprestij bersama kumpulan nasyid yang lain iaitu Hijjaz dan Brothers. 

“Konsert tersebut ialah acara pertama yang dianjurkan individu ini. Katanya, dia mahu berikan platform untuk merancakkan lagi industri nasyid dan janjikan bayaran yang besar kepada kami. 

“Sebelum konsert, individu ini juga telah memberikan kami semua wang deposit. Melihat situasi itu, kami jadi yakin dengan penganjur untuk teruskan konsert. Tiket pula okay terjual, malam itu ‘full house’.

“Beberapa hari sebelum konsert, penganjur mengaku ada sedikit masalah kewangan dan saya telah memberi pinjaman wang kepadanya,” katanya. 

Namun siapa sangka, di situlah bermulanya situasi ‘malang tidak berbau’ apabila penganjur tiba-tiba menghilangkan diri selepas konsert berlangsung.

Bukan hanya artis yang tidak menerima bayaran, malah kru, pemuzik dan staf yang bertugas juga mengalami nasib serupa.

“Jadi apa yang saya kecewa ialah tindakan yang dilakukan individu tersebut bukan hanya beri impak kepada artis malah pemuzik dan staf orkestra yang mungkin sangat memerlukan wang ketika itu. 

“Rabbani boleh berlapang dada dengan apa yang mereka lakukan, tapi bagaimana dengan pemuzik yang lain?

“Memang saya ada usaha mencarinya, namun apabila bersemuka kita yang disalahkan dan dianggap tiada agama dan menghilangkan diri sampai hari ini. Mungkin dia rasakan orang penyanyi nasyid seperti kami mudah dipijak,” jelas Azadan. 

Hanya tagih permohonan maaf

Ditanya mengapa Rabbani tidak pernah membuat laporan polis dan bersabar sehingga lapan tahun, Azadan tersenyum dan mengakui sudah tiada tenaga mahu memanjangkan cerita.

“Kami malas buat laporan polis sebab sudah terlalu lama. Kami hanya yakin bahawa akan ada rezeki lebih besar buat kami.

“Sebenarnya kalau individu itu mengaku bahawa tidak mampu selesaikan bayaran yang dijanjikan, mengaku ada masalah kewangan dan tunjukkan bukti, kami okay sahaja. Cuma jangan hilangkan diri, telefon juga tidak berangkat.

“Setidaknya, buatlah surat dan mohon maaf kepada kami,” tambahnya.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Rabbani tawar hati menerima tawaran persembahan. Sepanjang kerjaya, Rabbani mengakui 99 peratus penganjur yang ditemuinya sangat baik dan tidak bermasalah. 

“Mahu kata trauma, tidak juga. Selama ini segelintir sahaja yang bermasalah. Selebihnya sangat profesional. Mereka tidak tergamak mahu tipu artis, lebih-lebih lagi artis nasyid,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya