HULU TERENGGANU: Seorang peneroka warga emas ditemukan lemas berdekatan pukat ikan di sebatang sungai belakang sebuah kilang sawit di Jerangau Barat, Ajil, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, mayat Chik Mamat, 76, dijumpai penduduk yang secara kebetulan ke kawasan tersebut untuk menahan pukat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi setelah mendapat maklumat berhubung kejadian pada pukul 9.40 pagi.
“Kita menerima maklumat daripada orang awam yang memberitahu telah menjumpai mayat warga emas itu berdekatan dengan pukat ikan. Polis bersama bantuan orang ramai telah mengeluarkan mangsa pada kedalaman air lebih kurang satu meter,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau,mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-UTUSAN