SHAH ALAM: Kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta yang ditemukan di sekitar Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) disahkan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan pihaknya mendapati
kejadian pada 6 November lalu itu berpunca akibat kecuaian apabila wang yang dipercayai diambil dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang oleh sebuah van syarikat kawalan keselamatan untuk dibawa ke sebuah bank lain di Kuala Lumpur.
“Namun, setibanya di satu selekoh di AKLEH, pintu belakang van itu dipercayai terbuka dan menyebabkan beg berkenaan terjatuh.
“Bagaimanapun, perkara itu tidak disedari dua pengawal keselamatan bertugas sebelum beg berkenaan ditemukan orang awam,” katanya ketika pada sidang akhbar, hari ini.
Justeru, beliau memberitahu, dua pengawal keselamatan iaitu lelaki dan wanita berusia 52 dan 38 tahun yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.
“Namun, kita sudah merujuk kertas siasatan itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi keputusan lanjut. Kes berkenaan setakat ini masih diklasifikasikan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes kehilangan beg berisi wang tunai RM1.071 juta berkenaan.
Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua tangkapan adalah negatif dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Beg itu dipercayai terjatuh di atas jalan sebelum ditemui seorang pemandu kereta yang melalui laluan berkenaan dan menyerahkannya kepada polis. – UTUSAN