YAN: Penduduk di Kampung Padang Besar, Sungai Limau di sini gempar apabila melihat pusaran angin seperti puting beliung melanda satu kawasan di situ petang ini.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Faranina Nazeri berkata, dia menyedari pusaran itu ketika berada di luar rumahnya kira-kira pukul 3.10 petang tadi.
“Saya terkejut kerana ini merupakan kali pertama saya menyaksikan puting beliung depan mata lalu merakamkannya. Pusaran tersebut yang dilihat datang dari arah Kampung Selengkoh sehingga hilang.
“Bagaimana pun saya tidak mengetahui apakah terdapat rumah penduduk yang diterbangkan angin kuat dalam kejadian itu,” katanya.
Ujarnya pusaran berkenaan turut diikuti dengan awan hitam kelihatan sampai ke bawah, namun tidak pasti sama ada ia melanda kawasan daratan atau tidak.
Faranina kemudian memuat naik video rakaman berdurasi 10 saat itu di akaun media sosial penduduk kampungnya.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Lt (PA) Zul Izzi Zulkifli yang dihubungi berkata sehingga kini pihaknya belum menerima aduan dari penduduk berkaitan kerosakan rumah akibat sebarang kejadian puting beliung atau angin kuat yang melanda kawasan di Kampung Padang Besar, Sungi Limau.– UTUSAN