Penduduk Seri Iskandar dapat hospital baharu, beroperasi bulan depan - Utusan Malaysia

Penduduk Seri Iskandar dapat hospital baharu, beroperasi bulan depan

DR. DZULKEFLY Ahmad (dua dari kiri) dan Alexander Nanta Linggi melawat kemudahan yang disediakan di Hospital Seri Iskandar pada majlis penyerahan projek hospital itu oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dekat Parit hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Lebih 50,000 penduduk Seri Iskandar dan kawasan sekitarnya kini tidak perlu lagi bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan kesihatan apabila Hospital Seri Iskandar (HSI) beroperasi sepenuhnya, awal bulan depan.

Hospital bernilai RM153.18 juta itu yang mula dibina pada 2021 di atas kawasan seluas 26.8 hektar di Seri Iskandar, dekat sini, dijangka mula beroperasi pada 11 Disember depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seramai 516 kakitangan akan bertugas di hospital tiga tingkat berkapasiti 76 katil itu, termasuk 22 pegawai perubatan, 97 penolong pegawai perubatan dan 137 jururawat.

“Pembinaan hospital ini bermula 2021 dan mampu disiapkan mengikut jadual dan tempoh yang ditetapkan selama tiga tahun tanpa ada sebarang lanjutan masa.

“Kejayaan ini sewajarnya menjadi penanda aras kepada projek-projek fasiliti kesihatan yang lain,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan projek HSI dan blok baharu Hospital Seri Manjung (HSM) oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di HSI hari ini.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sebelum ini, penduduk di Seri Iskandar mendapatkan rawatan di Hospital Changkat Melintang (HCM) sejauh 17 kilometer (km) dan bagi rawatan kronik perlu ke HSM atau Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, sejauh lebih 30 km.

Menurut Dr. Dzulkefly, antara perkhidmatan kepakaran dan sub-kepakaran disediakan di HSI termasuk perubatan kecemasan, perubatan am, pembedahan am, pediatrik, psikiatri, ortopedik, obstetrik dan ginekologi dan radiologi.

Jelasnya, HCM akan terus beroperasi dengan KKM dalam proses untuk menilai potensi hospital itu untuk dijadikan pusat hemodialisis, terutamanya bagi pesakit-pesakit yang berhampiran.

Dalam pada itu, projek kedua diserahkan kepada KKM adalah projek pembinaan blok tambahan HSM yang siap pada 27 Ogos lalu dengan kos RM75 juta.

Menurutnya, pembinaan blok tambahan itu mengandungi dua bangunan baharu iaitu sebuah bangunan empat tingkat dengan pelbagai fasiliti, dan sebuah bangunan setingkat menempatkan wad psikiatri.

“Ia akan menambah daripada 305 katil sedia ada di HSM kepada 353 katil serta tambahan empat dewan bedah menjadikan tujuh dewan bedah di hospital itu.

“Perkhidmatan ini akan mengurangkan rujukan pesakit ke HRPB dan Hospital Teluk Intan manakala wad psikiatri baharu di HSM akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Bahagia Ulu Kinta,” ujarnya

Beliau percaya blok tambahan itu yang dijadualkan beroperasi pada 13 Januari tahun depan dapat memenuhi keperluan kesihatan kira-kira 250,000 penduduk Manjung.

Sementara itu, beliau memberitahu Perak akan menerima 16 projek baharu KKM menyambung 23 projek sedia ada dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM117.85 juta pada tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya