DUNGUN: Penduduk di Kampung Rantau Panjang dan Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun, dekat sini yang terjejas banjir kini terputus laluan darat selepas jalan di Kilometer 3, Kampung Besol ke Kampung Rantau Panjang di sini runtuh dan ditutup semua kenderaan.
Penutupan laluan sepanjang 10 kilometer itu dilakukan Jabatan Kerja Raya bermula semalam selepas sebahagian jalan tidak lagi selamat dilalui.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, jalan itu sebelum ini menjadi laluan alternatif penduduk ke bandar Bukit Besi dan Dungun, selain untuk menghantar bekalan makanan tambahan kepada mangsa banjir.
“Sekarang bila jalan ini tidak boleh digunakan lagi, kita terpaksa melalui Kampung Jongok Batu untuk menghantar bekalan keperluan tambahan mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang dan Kampung Kuala Jengai yang jaraknya lebih jauh.
“Sementara itu, penduduk kampung lain pula terpaksa menggunakan laluan sungai dengan menaiki bot melalui Sungai Dungun,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. – UTUSAN