ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberi jaminan kriteria permohonan penduduk untuk menyertai program kampung tersusun telus tanpa mengira latar belakang parti politik masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarat utama pemohon menyertai program tersebut merangkumi kategori miskin dan miskin tegar.
“Kita mahu elak benda-benda yang berlaku pada zaman dahulu. Kalau dulu orang kampung kena jadi ahli politik dahulu baru boleh duduk di situ (agar) jadi kubu atau deposit tetap pilihan raya, kena buka cawangan.
“Saya rasa benda itu pada 2025 ini orang tak buat dah kerja karut, kerja mumbo (merapu). Nak syarat kena sokong dahulu baru boleh borang, kena cop ketua bahagian pula. Mumbo itu kita tak mahu ulang. Kita bagi kepada mereka yang layak berdasarkan latar belakang dia miskin dan miskin tegar,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd. Radzi Md Amin (Pas-Pedu) berkaitan syarat memohon pemberian lot tanah komuniti B40 di Kedah.
Muhammad Sanusi (Pas-Jeneri) berkata, sejumlah 1,281 plot diperuntukkan di bawah program tersebut di seluruh daerah ini dengan lot terbanyak di Kuala Muda 411 plot dan Sik (227) dan Kubang Pasu (142).
“Pemilihan penduduk juga mengikut keperluan penduduk daripada golongan tersebut misalnya, kalau ada 100 lot kita tidak akan terus isi 100 terus. Kita isi ikut keperluan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan program yang sama bagi kaum lain termasuk masyarakat Siam.
“Untuk masyarakat bukan Melayu, kita tidak pinggirkan sebab kita ada orang Siam, India dan Cina. Kita janji ada Desa Sejahtera untuk masyarakat Siam sebab budaya tidak sama nak campur sekali jadi sensitif. Kita akan tempatkan ikut kedudukan sosioekonomi yang sesuai.
“Kita utamakan orang Melayu sebab jumlah penduduk Melayu ramai dan ramai yang susah sebelum kita perluaskan kepada bukan Melayu,” katanya. – UTUSAN