Penduduk Juru bantah bina asrama 32 tingkat untuk warga asing

Penduduk Juru bantah bina asrama 32 tingkat untuk warga asing

SEBAHAGIAN daripada penduduk setempat melakukan bantahan secara aman terhadap rancangan pembinaan asrama warga asing 32 tingkat di Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Lebih 200 penduduk Juru di sini berkumpul meminta kerajaan Pulau Pinang membatalkan  pembinaan dua projek asrama pekerja asing di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Juru, Wahid Othman berkata, pelbagai faktor  menyumbang kepada kebimbangan penduduk susulan kawasan tersebut kini sudah dipenuhi warga asing walaupun projek itu belum dilaksanakan. 

Menurut beliau, tiga blok bangunan setinggi 32 tingkat yang akan dibina di Mukim 12 bakal menempatkan lebih 20,000 pekerja asing di kawasan terbabit.

“Kawasan Juru ini sudah  ramai warga asing dan dengan projek ini, penduduk risau boleh menimbulkan ketegangan sosial malah pembinaan yang berhampiran dengan kawasan kediaman penduduk akan mengganggu kualiti hidup kami.

“Kesesakan lalu lintas turut membimbangkan apatah lagi dianggarkan tidak kurang 200 van atau 100 bas kilang akan melalui jalan ini untuk mengambil dan menghantar pekerja asing di sini,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di Taman Cendana, di sini hari ini.

Selain itu, kata beliau,  pertambahan warga asing juga dikhuatiri akan menjadi saingan kepada penduduk tempatan seperti untuk mendapatkan bekalan beras dan minyak masak peket subsidi.

Bagi, Khor TC, 53, kerajaan negeri sewajarnya memberi keutamaan pembinaan yang memberi faedah kepada penduduk tempatan dan bukannya untuk menambah susah atau kerisauan penduduk.

“Kita bukan halang pembangunan tetapi kita tidak mahu warga asing mendominasi kawasan penduduk.

“Kita bimbang kehadiran mereka akan memberi pelbagai impak dari segi kebersihan, penularan penyakit, kesesakan serta kes-kes jenayah yang sering dilaporkan membabitkan warga asing,” katanya.

Surat bantahan berhubung cadangan pembinaan asrama warga asing terbabit telah dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ketua Menteri Pulau Pinang pada bulan lalu namun tiada respon diterima setakat ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya