IPOH: Penduduk Ipoh terutama pemilik hartanah digesa membuat bantahan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung pelaksanaan senarai nilaian baharu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut yang mendorong kenaikan cukai.
Ahmad Humaizi Din Mustafaha yang menggerakan Badan Bertindak Bantah Cukai Ipoh berharap kesemua persatuan penduduk berbuat demikian sebelum 22 November ini.
Katanya, badan bertindak itu sendiri telah menerima banyak bantahan daripada penduduk dan mengharapkan bilangannya bertambah bagi menguatkan lagi suara mereka.
Dalam pada itu, dakwanya, kadar cukai baharu oleh MBI adalah terlalu tinggi berbanding beberapa bandar utama di Malaysia sedangkan pendapatan penduduk Ipoh rata-ratanya adalah rendah.
“Kita dapati kadar pendapatan isi rumah di Lembah Klang lebih tinggi berbanding Ipoh, tetapi mereka dikenakan cukai yang lebih rendah. Rakyat di Ipoh pendapatannya rendah, tetapi cukai tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
MBI sebelum ini memaklumkan, aras nilaian pada masa kini adakah berdasarkan tahun 1982 dan nilaian sewaan tahun tersebut adalah tidak relevan bagi menampung pelbagai kos. – UTUSAN