PETALING JAYA: Pendapatan Sunway Construction Group Berhad (Sunway Construction) meningkat kepada RM865.3 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024, meningkat 28.5 peratus daripada RM673.5 juta yang diraih dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Sunway Construction Group, Liew Kok Wing berkata, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak 46.6 peratus kepada RM70.5 juta.
“Peningkatan pendapatan dan PBT ini disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam segmen pembinaan.
“Pendapatan bagi segmen pembinaan meningkat sebanyak 40.9 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2024 daripada RM590.5 juta kepada RM831.8 juta,” katanya dalam kenyataan.
Seiring itu, jelasnya, PBT meningkat 64.7 peratus kepada RM68.5 juta, daripada RM41.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Ini disokong oleh kemajuan pesat dalam projek pusat data serta pembalikan pelarasan nilai dalam suku semasa yang seterusnya meningkatkan margin keuntungan.
“Segmen pratuang mencatatkan pendapatan dan PBT masing-masing RM33.5 juta dan RM2.0 juta pada suku semasa. Pendapatan dan PBT yang lebih tinggi pada suku yang sama tahun lepas adalah disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada projek-projek yang berada di peringkat lanjut,” katanya.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim kedua satu-tier sebanyak 2.50 sen setiap saham biasa untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.
Sehingga kini, kumpulan telah mengisytiharkan jumlah keseluruhan dividen sebanyak enam sen setiap saham biasa, yang merangkumi dividen interim pertama sebanyak 3.50 sen.
Jelas beliau, buku pesanan baharu Sunway Construction telah meningkat kepada RM4.028 bilion, mencerminkan kemajuan yang stabil dalam usaha perolehan projek kumpulan.
“Kami gembira kerana telah mencapai sasaran pembaharuan buku pesanan yang disemak semula antara RM4.0 bilion hingga RM5.0 bilion, yang menekankan kerja keras dan dedikasi pasukan kami,” katanya.
Mengenai prospek, beliau berkata, Belanjawan 2025 baru-baru ini mengesahkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan dan penyelesaian pembangunan utama seperti projek LRT Pulau Pinang, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Sistem Transit Pantas Johor Bahru-Singapura (RTS).
“Sunway Construction terus aktif mencari peluang dalam segmen Kemudahan Teknologi Maju (ATF) terutamanya pusat data dan kemudahan pembuatan semikonduktor di pasaran domestik dan rantau Asean.
“Kumpulan optimis untuk mencatatkan pertumbuhan positif dalam tahun kewangan 2024, didorong oleh buku pesanan tertunggak yang kukuh sebanyak RM7.1 bilion,” katanya. – UTUSAN