Pencemaran bunyi, asap: Pemilik kenderaan dikompaun RM374,000

Pencemaran bunyi, asap: Pemilik kenderaan dikompaun RM374,000

NORAZIZI Adinan (kanan) ketika turut-serta dalam Ops Gerak Kenderaan Bermotor Sempena Hari Ozon Sedunia Tahun 2024 berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebanyak 187 tawaran kompaun bernilai RM374,000 telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang terhadap pemilik kenderaan bermotor atas pelbagai kesalahan berkaitan pencemaran bunyi dan asap sepanjang tahun ini iaitu sehingga Isnin lalu.

Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, kompaun itu dikeluarkan susulan pelaksanaan 57 operasi penguatkuasaan melibatkan pelepasan asap dari kenderaan berenjin diesel, kenderaan berenjin petrol, kawalan pelepasan bunyi bising serta gas dari motosikal.

“JAS Pulau Pinang turut membuka 170 kertas siasatan, 69 Notis Arahan di bawah Seksyen 31, 209 Notis Arahan Seksyen 48A serta 33 Perintah Larangan sepanjang tempoh pelaksanaan operasi-operasi penguatkuasaan tersebut,” katanya ketika hadir pada Ops Gerak Kenderaan Bermotor Sempena Hari Ozon Sedunia Tahun 2024 di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Operasi penguatkuasaan yang sama turut diadakan di tiga lagi lokasi di negeri ini iaitu di Plaza Tol Sungai Dua (Arah Selatan), Stesen Penguatkuasaan Valdor (Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ) dan Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu berhampiran Seagate.

Selain JAS, operasi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Imigresen dengan penglibatan seramai 100 anggota penguatkuasa secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Norazizi memaklumkan, sebanyak 370 kenderaan berenjin diesel termasuk bas kilang dan 271 buah motosikal telah diperiksa dalam Ops Gerak Kebangsaan yang dijalankan selama empat hari di Pulau Pinang sejak ia dilancarkan Rabu lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 39 buah kenderaan berenjin diesel dan 38 motosikal telah diuji manakala sebanyak 28 Notis Arahan Seksyen 48A iaitu ujian semula telah dikeluarkan terhadap 28 kenderaan berenjin diesel dan tujuh buah motosikal.

“Sebanyak 17 kompaun bernilai RM34,000 turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berenjin diesel tersebut manakala enam kompaun diberi pemilik-pemilik motosikal yang berkenaan dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM1,800,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Norazizi menasihatkan orang awam khususnya pengguna atau pemilik kenderaan agar tidak mengeluarkan atau melepaskan sebarang bunyi bising yang melebihi had paras bunyi maksimum yang dibenarkan atau perlu bersedia untuk berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan terhadap kes-kes pencemaran alam sekitar boleh berbuat demikian melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui portal aduan JAS di laman sesawang [email protected],” ujar Norazizi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya