KUALA LUMPUR: Langkah mitigasi masalah jenayah penipuan dalam talian dan pemulihan akidah pemimpin Global Ikhwan Services and Services Holdings (GISBH) antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dan inisiatif serta tindakan penguatkuasaan undang-undang kementerian bagi mengatasi masalah jenayah penipuan dalam talian.
Ia berikutan jenayah itu menyebabkan kerugian lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun.
Sesi soal jawab lisan diteruskan dengan isu pemulihan akidah pemimpin GISBH yang dibangkitkan oleh Azli Yusof (PH-Shah Alam) minta Perdana Menteri menyatakan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang didakwa terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Azli turut bertanyakan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang telah ditinggalkan GISBH akibat operasi Op Global.
Dalam pada itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah bentuk bantuan khusus yang telah diberikan kepada golongan ibu tunggal di luar bandar bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti keusahawanan.
Belia turut meminta KPWKM menyatakan jumlah ibu tunggal dan bentuk bantuan yang telah diberikan untuk Parlimen Batang Sadong dari tahun 2021 sehingga kini.
Selain itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan punca ramai rakyat Malaysia lebih cenderung memilih untuk bercuti di negara jiran seperti Hatyai, Krabi dan Phuket di Thailand, berbanding melawat lokasi pelancongan dalam negara.
Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember. – UTUSAN