JEMPOL: Seorang lelaki yang mempunyai 35 rekod jenayah lampau ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pecah rumah di Taman ACBE, Bahau, di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditangkap di sebuah tempat letak kereta bawah tanah di sebuah pasar raya di Bahau di sini kelmarin.
“Dalam soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku melakukan kejadian pecah rumah dan curi seorang diri. Modus operandi suspek adalah memasuki mana-mana rumah yang tiada berpenghuni atau rumah yang ditinggalkan sementara waktu.
“Suspek dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah dan curi sekitar pukul 3 pagi sehingga 6 pagi,” katanya hari ini.
Menurut Chang Hook, saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 35 rekod lampau dadah dan jenayah termasuk orang yang dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 6 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pencerobohan rumah dengan bersembunyi.
Terdahulu, Chang Hook berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita kira-kira pukul 11 pagi pada 21 Oktober lalu mengenai satu kejadian pecah rumah telah berlaku di rumahnya di Taman ACBE. – UTUSAN