KEPALA BATAS : Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang mahu Perikatan Nasional (PN) memikirkan kedudukan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) dalam gabungan itu ketika ini.
Ketua Penerangannya, Ibrahim Ani berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut mencadangkan agar sebuah lagi parti dominan kaum Cina iaitu MCA dipilih sebagai alternatif kepada Gerakan.
“Mungkin MCA dilihat lebih sesuai bersama PN daripada Gerakan jika Gerakan lebih suka berpolemik daripada melaksanakan peranan mereka (untuk) memperkukuhkan PN,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau hairan mengapa Gerakan ketika ini begitu aktif mengulas isu dalaman yang berlaku dalam gabungan itu bermula dengan tindakan Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau menyelar Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkaitan isu sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sebelum ini.
“Terkini, beliau (Dominic) turut-serta dalam ulasan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin terhadap kenyataan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (berhubung isu Perdana Menteri dari PN).
“Dominic yang memimpin Gerakan sepatutnya memainkan peranan memperkukuhkan pengaruh parti itu dalam politik negara. (Sebaliknya), Gerakan yang mewakili kaum Cina dalam PN (ketika ini) dilihat terlalu lemah.
“Lebih malang, Dominic sendiri bertungkus-lumus ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu yang paling ramai pengundi Cina (sedangkan) beliau sendiri tahu betapa pengaruh Gerakan dalam politik terlalu lemah dan tak bermaya.
“Kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Melayu (dipercayai merujuk kepada Bayan Lepas) yang sepatutnya dimenangi PN tetapi kalah apabila Dominic bertanding di kawasan berkenaan,” katanya.
Jelas Ibrahim, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang sepatutnya berusaha untuk memperbanyakkan cawangan selain menggerakkan organisasi parti beliau daripada sibuk mencari populariti pada setiap isu dalaman yang timbul.
“Pimpinan Gerakan pelbagai peringkat ini seperti tiada hala tuju, macam anak ayam kehilangan ibu. Ada ketikanya, Gerakan seperti suara DAP. Kewujudan Gerakan dalam PN juga seperti kata pepatah, ‘Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang’.
“Selain itu, data dan fakta pilihan raya menunjukkan bahawa undi bukan Melayu khususnya Cina tidak bersama PN. Ini menunjukkan, Gerakan gagal berperanan menunjukkan mereka bernilai dalam PN,” kata Ibrahim lagi.-UTUSAN