PETALING JAYA: Pelakon, Siti Saleha, berkongsi berita gembira apabila mengesahkan sudah bertunang dengan seorang pereka fesyen, Joshua Fitton.
Saleha atau Siti Saleha Mohd Baharum mengumumkan berita tersebut secara spontan ketika diminta bercerita mengenai perjalanan kehidupannya untuk tahun 2024 menerusi satu sesi temu ramah.
“2024 berjalan sangat bagus dan kami bersedia memberitahu bahawa kami sudah bertunang.Saya terbuka mengenai perkara ini.
“Awak nampaknya tidak bersedia dengan pengumuman ini.” ujar Saleha berseloroh sambil menunjuk ke arah Joshua.
Bagaimanapun, Joshua kemudian menegaskan bahawa mereka sudah bertunang sambil tersenyum memandang Saleha.
“Ya, mari umumkan perkara itu secara terbuka,” tambah Joshua ketika di acara karpet merah Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2024 pada Jumaat.
Dalam pada itu, peminat mula memberikan pelbagai respons terhadap berita tersebut yang rata-ratanya memuji pasangan itu kelihatan serasi.
“Sama cantik, muka pun lebih kurang,” tulis satu komen.
“Betulkah sudah bertunang? Aduhai, patah hati aku,” respons seorang peminat.
“Wow, pilihan Saleha sangat kacak,” kata satu komen.
Terdahulu, kali pertama Saleha membuka mulut bercerita mengenai kekasihnya adalah pada 2022.
Namun ketika itu, Saleha menegaskan enggan terburu-buru memikirkan perancangan untuk kembali bergelar isteri.
Pelakon itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar, 36, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun dan tidak dikuniakan cahaya mata. -UTUSAN