JAKARTA: Sebuah pertandingan mencari wajah paling sama dengan pelakon, Nicholas Saputra diadakan di Stadium Bola Lisut Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.
Menerusi pertandingan yang dinamakan Nicholas Saputra Look Alike Competition, peserta yang mempunyai penampilan paling serupa dengan aktor itu boleh memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai 500,000 rupiah iaitu bersamaan RM141.
Difahamkan, pertandingan itu merupakan acara tidak rasmi yang diilhamkan daripada pertandingan meniru wajah artis yang berlangsung di luar negara seperti Timothée Chalamet, Paul Mescal dan Dev Patel.
“Sudah ada puluhan yang mendaftar, pertandingan ini dibuat kerana ada antara kami peminat Nicholas Saputra.
“Pertandingan ini untuk suka-suka sahaja,” tulis penganjur, Raina, menerusi hantaran di aplikasi X.
Dalam pada itu, poster pertandingan bagaimanapun telah dikongsikan hampir lima ribu pengguna dan ditonton lebih empat juta pengguna di aplikasi X.
Mengintai ruangan komen, rata-rata tidak sabar melihat pemenang yang bakal menjuarai pertandingan itu. -UTUSAN