SEPANG: Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima ganjaran berjumlah RM900 untuk melepaskan ubat-ubatan milik sembilan penumpang warga Bangladesh, November tahun lalu.
Tertuduh, Kufariz Iskandar Zulkifli, 30, memohon untuk dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima ganjaran sebanyak RM900 daripada sembilan penumpang warga Bangladesh untuk pelepasan ubat-ubatan milik penumpang tersebut sewaktu pemeriksaan bagasi.
Kesalahan itu dilakukan di Cawangan Pemeriksaan Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, kira-kira pukul 1.30 petang pada 11 November tahun lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137 (1)(b) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (1) akta sama dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duaya sekali, dan ditahan daripada memegang jawatan dalam perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nurul Akhilah mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh memohon agar jaminan lebih rendah ditawarkan berikutan tidak memiliki simpanan yang mencukupi dan perlu menanggung ibu, dua adik-beradik yang masih belajar serta anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan terhadap tertuduh, dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Hakim Ahmad Fuad turut menasihati tertuduh untuk melantik peguam sebelum tarikh tersebut memandangkan pertuduhan yang dihadapi olehnya adalah berat. – UTUSAN