Pembangunan semula DUN Teratai, misi terbesar Jia Haur

Pembangunan semula DUN Teratai, misi terbesar Jia Haur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YEW Jia Haur mungkin bukan figura DAP terkenal seperti yang lain. Namanya jarang timbul dalam liputan media arus perdana, bahkan, untuk mencipta kontroversi politik juga mungkin bukan caranya.

Bagaimanapun, Jia Haur mencipta sejarah tersendiri kerana berjaya ‘merampas’ semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu, selepas kerusi itu pernah bertukar pimpinan seketika di bawah Parti Warisan (Warisan).

Tetapi, tidak hairanlah kerana sejak dahulu kerusi itu memang milik DAP, namun penyandangnya, Bryan Lai Wai Chong berpaling tadah, manakala Jia Haur diberi amanah besar meneruskan kelangsungan parti sekaligus memberi khidmat semula untuk seluruh komuniti DUN Teratai.

Kini, tiba giliran Jia Haur membuktikan beliau adalah wakil rakyat yang rakyat DUN Teratai damba selama ini. Terus mendengar denyut nadi rakyat. Ada sahaja masalah, terus bertindak tanpa lengah.

“Manifesto sejak pilihan raya saya masih sama dan saya sedang meneruskannya sehingga selesai. Saya mahu menangani isu banjir dan tanah runtuh secara menyeluruh. Begitu juga masalah sampah sarap yang berlaku di dalam kawasan saya.

“Saya mahu memastikan alam sekitar dipelihara dengan baik melalui penjagaan berkala, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Saya juga mahu menjadikan DUN Teratai sebagai kawasan urban yang mampan, membangun dan bersinergi di samping memperkasa mobiliti masyarakat setempat dengan sistem pengangkutan awam yang mudah, tepat masa dan mesra pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau ditemui dalam selepas menghadiri beberapa program bersama komuniti di Taman Muda, Ampang di sini.

Saya berpeluang mengikuti beliau selama separuh hari bermula dengan majlis penyerahan sumbangan untuk persatuan taichi di Surau At-Taqwa, Taman Saga Ampang, mesyuarat pendek di Pusat Khidmat Masyarakat Teratai, lawatan tapak banjir dan program mengecat rumah pangsa kos rendah di sini.

Semasa majlis penyerahan sumbangan untuk persatuan berkenaan, Jia Haur tidak melepaskan peluang melakukan seni senaman taichi yang dianggotai warga emas terdiri dalam kalangan penduduk Melayu.

Dengan skil komunikasi yang mesra dan berkesan, kelebihan itu membuka ruang kepada rakyat Teratai termasuk ahli-ahli persatuan untuk mendekati dan mengenalinya lebih rapat. Penguasaan Bahasa Melayu Jia Haur juga di tahap lebih daripada cemerlang.

Meskipun terdapat perbezaan latar belakang agama, budaya dan bahasa, tetapi, keadaan itu tidak sesekali memisahkan antara beliau dengan komunitinya dan Jia Haur sudah cukup memahami akan keperluan di DUN Teratai.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Selangor tahun lalu, Jia Haur menang dengan 31,933 majoriti undi menumpaskan calon dari Perikatan Nasional (PN) yang hanya memperoleh 10,586, manakala Jia Haur sebanyak 42,519 undi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Nama penuh: Yew Jia Haur
Umur: 46 tahun
Penggal DUN: 1
Pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (E-Dagang), Stafforfshire University, United Kingdom
Kerjaya dan pengalaman:
• (2023 – Kini) ADUN Teratai
• (2022 – 2023) Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya
• (2018 – 2022) Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng
• (2013, 2018, 2022) Pengurus Kempen kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng
• (2013 – 2018) Ahli Majlis Perbandaran Selayang
• (2008) – Berkempen untuk Lim Lip Eng di Parlimen Segambut
• (2000 – 2002) Credit Authoriser di American Express Malaysia
• (1995) Membantu kempen politik bapa (calon DAP DUN Malim Nawar, Perak)

 

BANJIR, TANAH RUNTUH

Kata Jia Haur, kawasannya tidak terlepas daripada berdepan bencana alam seperti tanah runtuh dan masalah banjir yang baginya merupakan masalah paling kritikal dan wajar diselesaikan kerajaan.

“Mengikut rekod daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), ada lebih 300 cerun berstatus sangat bahaya dan sebelum ini sudah ada kes menyebabkan nyawa melayang.

“Untuk membantu mengurangkan masalah banjir di DUN Teratai, projek seterusnya adalah kerja naik taraf Sungai Kerayong dan Seputeh yang melintasi kawasan DUN Teratai di Kampung Tasik Permai.

“Kos kerja menaik taraf melibatkan kos yang tinggi dalam anggaran RM28 juta dan sudah mendapat kelulusan menjalankan kerja naik taraf fasa satu,” katanya.

PEMBANGUNAN SEMULA

Ditanya tentang misi terbesarnya, kata Jia Haur, beliau mahu membangunkan semula DUN Teratai memandangkan usia sudah mencapai 40 tahun dan berlaku ketidakseimbangan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Walaupun kawasan saya di bawah sempadan Selangor dan dekat dengan Kuala Lumpur, tetapi, perbezaannya sangat besar. Jadi, saya mahu standard DUN Teratai sama seperti Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya