KANGAR: Ahli Parlimen pembangkang perlu melontarkan pandangan yang lebih konstruktif biarpun berbeza pandangan dengan perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau menghargai pandangan pembangkang dan mengalu-alukan sekiranya mereka mempunyai cadangan yang membina dalam memperbaiki sesuatu perkara.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini juga pernah menyuarakan agar Dewan Rakyat tidak memberi penumpuan terhadap perkara-perkara picisan yang tidak membantu dalam menyelesaikan permasalahan negara.
“Saya nampak kasar sikit kerana bagi saya masalah kita besar dan kalau ada ruang, lebih baik kita tumpu bersama-sama untuk atasi permasalahan itu.
“Sebab itulah, saya minta ahli politik dari kedua-dua belah pihak elakkan perkara sebegitu kerana kalau di peringkat atas dah tumpu kepada perkara picisan, maka benda itu akan turun ke rakyat sedangkan cabaran kita jauh lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 (SLU RMK13) di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kualiti pembangkang pada masa kini yang dilihat gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan atau berkualiti khususnya daripada segi tawaran dasar dan idea.
Ia cukup berbeza ketika Pakatan Harapan (PH) atau Pakatan Rakyat (PR) menjadi pembangkang yang ketika itu agak agresif sehingga mampu mengoncang sehingga akhirnya mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Jika dilihat, kebanyakkan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lebih gemar membangkitkan isu-isu remeh di Dewan Rakyat dan sama sekali tidak nampak mana-mana lagi pemimpin dari gabungan itu yang mampu menandingi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya daripada segi hujah yang mampu menggerunkan kerajaan.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, RMK13 turut akan memberi penekanan kepada pelaburan dalam aset bukan fizikal contohnya seperti bidang perisian, teknologi digital dan pembangunan modal insan.
“Pelaburan ini bertujuan untuk mencipta dan melipat gandakan nilai bagi masa hadapan dengan harapan dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara,” katanya.
Tambah Rafizi, penyediaan dokumen RMK13 tidak hanya perlu fokus untuk tempoh lima tahun ke depan sahaja namun perlu dilihat pencapaian yang ingin diraih negara menjelang tahun 2040.
“Hal ini melibatkan proses pemikiran yang kreatif, inovatif dan luar kotak untuk menghasilkan idea-idea yang baharu dan penyelesaian unik,” katanya.-UTUSAN