PARIT: Seorang lelaki maut selepas treler muatan simen yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 47, Jalan Ipoh-Lumut dekat Titi Gantung, di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 11.15 malam itu menyebabkan mangsa berusia 32 tahun cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, kemalangan melibatkan treler jenis Mercedes-Benz dipandu mangsa dengan sebuah treler jenis Hino dan kereta Toyota Vios.
Katanya, kemalangan berlaku ketika treler dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah Seri Iskandar menuju Gelung Pepuyu hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.
“Perlanggaran itu juga menyebabkan treler berkenaan melanggar belakang sebuah kereta yang juga diletakkan di tepi jalan.
“Akibat perlanggaran itu, treler dipandu mangsa meluncur ke depan lebih kurang 100 meter sebelum merempuh halaman sebuah rumah yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam kemalangan tersebut, pemandu treler Mercedes-Benz mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian mangsa adalah ‘polytrauma secondary to motor vehicle accident’.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku dalam keadaan jalan basah dan cuaca baik namun lokasi kemalangan tidak mempunyai lampu jalan serta kamera litar tertutup (CCTV).
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN