BUKIT MERTAJAM : Pemandu treler kontena yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Kebun Sireh, Bukit Tengah semalam direman empat hari sehingga 17 November ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan yang membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes tersebut di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris mengesahkan kemalangan yang berlaku pukul 9.30 pagi itu melibatkan sebuah treler kontena, lima buah kereta dan sebuah lori.
Treler yang dipandu lelaki terbabit dari arah Jalan Bukit Tengah membelok masuk ke Jalan Kebun Sireh sebelum hilang kawalan dan menyebabkan muatan kontena yang dibawa menghempap dua buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Wanita berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian manakala lelaki berusia 25 tahun parah dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam. – UTUSAN