BATU PAHAT: Seorang lelaki maut akibat tersepit apabila lori dipandunya merempuh belakang sebuah lori kontena di Kilometer 79.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Shamin Muhamad Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 1.59 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Muhammad Nur Zufayri Mohd Azaha dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerjakan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan dipandu mangsa terbabit melanggar belakang sebuah lori kontena Hino. Akibat pelanggaran tersebut, pemandu lori Nissan, Mohamad Amir Badri Zulkifli yang berusia 28 tahun tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa didapati disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori kontena, Afridal Abu Bakar, 53, tidak mengalami kecederaan. Operasi tamat pada pukul 3.28 pagi. – UTUSAN