GEORGE TOWN : Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis seperti tular dalam satu rakaman video, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya mengesan video terbabit yang memaparkan pemandu kereta berusia 49 tahun itu tidak sedarkan diri di Lebuh Nordin.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian yang berlaku semalam (29 November) kira-kira pukul 10.30 malam.
“Bagaimanapun, apabila anggota polis sampai di tempat kejadian untuk memeriksanya, dia enggan bekerjasama lalu mengeluarkan kata-kata kesat.
“Lelaki itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, polis akan melengkapkan siasatan dalam masa terdekat sebelum merujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa video dan gambar memaparkan seorang lelaki di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan semua pintu kereta berkunci.
Menerusi video terbabit, kelihatan anggota bomba dan orang awam cuba menggerak dan memanggil mangsa, namun gagal.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya tersedar dan enggan bekerjasama ketika disoal anggota polis yang tiba di lokasi. – UTUSAN