JOHOR BAHRU: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri di Pasir Gudang, dekat sini pertengahan bulan ini.
Tertuduh, S. Nageshvaran, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Farhana Mohd. Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, Nageshvaran yang memandu Perodua Alza mempunyai alkohol dalam badan sebanyak 170mg/100ml, melebihi had iaitu 50mg/100ml darah dan menyebabkan kematian Linda Mohd. A Aziz.
Dalam pertuduhan berasingan, dia turut didakwa menyebabkan kematian Mohamad Redzwan Mohd. Rudi di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang pada pukul 4.15 pagi, 16 November lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (AKTA 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama akta berkenaan (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak lebih RM100,000, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, S. Vikineswary, manakala tertuduh diwakili peguam bela, K. Sarawanakumar.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sarawanakumar memohon jaminan sebanyak RM4,500 memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan ibu bapa yang sakit selain menyara empat beradik lain dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, melaporkan diri ke Balai Polis Johor Jaya dua kali sebulan, lesen digantung hingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri yang mempunyai lima orang anak maut apabila motosikal dinaiki mereka dirempuh seorang pemandu mabuk yang melanggar lampu isyarat merah pada 16 November lalu.- UTUSAN