JOHOR BAHRU: Lelaki mabuk yang memandu kereta Perodua Alza merempuh motosikal dinaiki pasangan suami isteri sehingga maut awal pagi semalam dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya telah menahan lelaki berusia 34 tahun itu sejurus tiba di lokasi kejadian untuk pemeriksaan.
Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan setelah didapati mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
“Suspek ditahan di lokasi kemalangan untuk pemeriksaan dan ujian sewajarnya, namun, disebabkan kecederaan dialami, suspek diberi jaminan polis untuk rawatan di hospital.
“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan dan selepas siap ia akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan pasangan suami isteri, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd. A.Aziz, 35, maut apabila motosikal Honda Vario dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian. – UTUSAN