Pemandu lori sebabkan penunggang motosikal maut ditahan - Utusan Malaysia

Pemandu lori sebabkan penunggang motosikal maut ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori ditahan selepas menyebabkan kematian penunggang motosikal selain pemandu kereta cedera dalam kemalangan di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru dekat sini.

Kejadian yang berlaku semalam tular dalam media sosial apabila lori terbabit yang berada dalam kawasan pembinaan tiba-tiba bergerak secara mengundur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, satu laporan diterima pada pukul 8.34 pagi semalam.

Katanya, laporan berkenaan membabitkan kemalangan motosikal Modenas Kriss, lori dan kereta Honda Jazz.

“Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun berada di dalam kawasan tapak pembinaan bersama lori dipandunya untuk mengisi minyak brek.

“Ketika proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori mengundur dengan sendiri lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama serta melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan terperosok di tayar belakang sebelah kanan lori.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dalam masa sama, lori berkenaan juga melanggar kereta di laluan bersebelahan menyebabkan pemandunya cedera di dahi,”jelasnya.

Tambah beliau, pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN