PASIR GUDANG: Seorang pemandu e-hailing berputih mata setelah wang pelaburannya berjumlah RM504,000 lebur akibat diperdaya skim pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat wanita berusia 44 tahun itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, Isnin lalu.
Katanya, mangsa mendakwa telah terpedaya dengan skim pelaburan saham ketika melayari laman sosial Facebook pada Ogos lalu.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp kumpulan saham dan setelah membaca penerangan dalam kumpulan tersebut, mangsa berminat untuk mencuba dan diberi tunjuk ajar tentang cara-cara melabur.
“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak tiga peratus daripada modal pelaburan yang akan diperoleh segera dan berjalan selama tiga bulan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa diarahkan untuk memuat naik aplikasi pelaburan bernama Arcadia Equity untuk urusan selanjutnya.
Katanya, disebabkan tertarik dengan skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa melakukan 10 transaksi pembayaran dari 17 Oktober hingga 21 November lalu ke dalam empat akaun berbeza keseluruhan berjumlah RM504,000.
“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa mengatakan menerima pulangan sebanyak RM400,000 pada Oktober lalu menyebabkan mangsa menggandakan pelaburan sehingga sampai fasa keempat pelan pelaburan tersebut,” katanya.
Menurutnya, pada awal bulan ini, mangsa dapat melihat keuntungan masuk dalam aplikasi Arcadia Equity dan cuba untuk mengeluarkannya tetapi tidak berjaya.
Katanya, suspek meminta wanita itu membuat pembayaran bagi meneruskan pelan pelaburan, namun wanita tersebut enggan kerana memerlukan penambahan wang.
“Itu menyebabkan mangsa disekat dan tidak lagi dapat akses aplikasi tersebut. Mangsa percaya dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan. Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun, sekiranya ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun tersebut,” ujarnya. – UTUSAN