Peluru Cokelat bedilan Barbarik - Utusan Malaysia

Peluru Cokelat bedilan Barbarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan seni anggota kumpulan ini tidak perlu diperincikan lagi. Rata-ratanya berpengalaman dan pernah menjadi tunjang bagi kumpulan yang pernah dianggotai sebelum ini.

Barisan hadapan yang diterajui Muss (vokal), Jo Branko (gitar) serta dibantu Rozaimie (bass) dan Ainol (drum) akhirnya berjaya meletakkan Barbarik dalam kelas tersendiri setelah muncul dengan album sulung mereka berjudul Peluru Cokelat.

Mengadakan sesi meet and greet bersama peminat di The Garage Hulu Kelang, Kuala Lumpur Sabtu lalu, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Hampir 1,000 tetamu hadir membanjiri lokasi untuk mendapatkan CD, USB, poster, t-shirt dan pelbagai cenderahati eksklusif daripada mereka.

Menurut Jo Branko sambutan diterima amat di luar jangkaan kerana tidak menjangkakan kehadiran peminat yang begitu ramai sehinggakan 500 naskhah CD yang diperuntukkan habis terjual dalam tempoh tidak sampai beberapa jam.

“Saya tidak menjangkakan ramai yang datang, mungkin faktor keterujaan peminat untuk mendapatkan material sulung kami setelah menyaksikan beberapa siri persembahan sebelum ini.

“Memang tiada perancangan untuk cetak CD dalam kuantiti yang besar, kerana kami juga hasilkan USB (format WAV) bagi peminat tertentu, tetapi tak sangka masih ramai yang old school, nampaknya terpaksa buat cetakan tambahan selepas ini,” katanya.

Memanjatkan rasa syukur atas sambutan positif diterima, konsep mempromosikan teaser album sebelum ini dilihat berkesan, sekali gus mampu memperbaiki kelemahan serta melakukan penambahbaikan sebelum sampai ke tangan peminat.

Menurut Muss, kelahiran naskah ini cukup unik dan berbaloi untuk dimiliki memandangkan ia antara kolaborasi insan terhebat yang dimiliki kumpulan ini selain terdapatnya pelbagai elemen muzik yang diadunkan selari dengan citarasa peminat hari ini.

“Di kala artis hari ini selesa mengeluarkan single, namun kami cuba mencabar diri dan melawan arus dengan mengeluarkan album kerana yakin dengan mutu dan kualiti yang dipersembahkan.

“Peluru Cokelat bukan rilisan tangkap muat, tetapi adalah buah tangan untuk peminat yang sentiasa menyokong usaha keras Barbarik sebelum ini. Lagipun sampai bila kami akan membuat persembahan dengan lagu yang sama? Perlu ada material baharu pada waktu akan datang,” katanya.

Pengurus Jo Branko, Noh Rahman mengakui penghasilan Peluru Cokelat adalah satu eksperimental terbaik dan boleh dianggap sebagai masterpiece yang pernah dihasilkan.

Tidak menafikan sumbangan anggota lain yang turut membantu memantapkan album ini, Noh berpendapat gabungan yang dimiliki serta kombinasi idea daripada mereka sekali gus meletakkan Barbarik berada dalam kelas tersendiri.

“Album Peluru Cokelat mula dirakam pada Ramadan lalu sepatutnya dijangka siap awal, tetapi Jo dan anggota lain sering melakukan penambahbaikan untuk memantapkan lagi naskah ini terutamanya dari segi susunan muzik.

“Jo cukup menitikberatkan kualiti. Bagi saya, dia cukup berpuas hati dengan penghasilan album ini. Saya sendiri dapat lihat dia tenang dan cukup enjoy ketika menghasilkan album ini, atas faktor itulah dia seakan berjaya melunaskan apa yang terbuku di hatinya,” ujarnya.

Pada 1 Disember ini Barbarik akan mengadakan pelancaran dan showcase khas sempena pelancaran album Peluru Cokelat mereka di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. Sebarang tempahan produk dan tiket boleh hubungi, Azhar di talian 0162455997.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya