Peluang cerah Amanah pertahan kerusi di Selangor - Utusan Malaysia

Peluang cerah Amanah pertahan kerusi di Selangor

MOHAMAD Sabu (tengah) dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar bersama perwakilan Amanah Selangor dalam Konvensyen Amanah Negeri Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam, Selangor hari ini-FOTO/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) optimis dapat mempertahankan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimiliki mereka ketika ini pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau membuat ramalan tersebut berdasarkan suasana politik Selangor ketika ini, yang mana majoriti pengundi negeri itu masih lagi memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, kita lihat ahli Amanah yang menjadi Menteri serta Exco kerajaan Selangor sedang menjalankan tugas mereka dengan baik pada masa ini.

“Melihat kepada kesemua faktor, saya merasakan Amanah mempunyai peluang untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen dan DUN di Selangor pada PRU-16 sekiranya diberi peluang oleh PH dan Barisan Nasional (BN) untuk berada di kerusi yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Amanah Negeri Selangor 2024, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Amanah memiliki empat kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN di Selangor selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ditanya sama ada PH dan BN sudah memulakan rundingan berhubung pembahagian kerusi di negeri itu sebagai persiapan awal menjelang PRU-16, ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perbincangan mengenai hal tersebut belum lagi bermula.

“Pilihan raya umum selepas ini pun akan berlangsung beberapa tahun lagi. Jadi, tumpuan kami kini adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Apabila pilihan raya umum nak dekat, baru kami (PH dan BN) akan mula runding mengenai hal kerusi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu memaklumkan Amanah kini mempunyai 26,000 ahli di Selangor dan menjangkakan lebih ramai individu akan menjadi ahli baharu parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya