KUALA LUMPUR: Selepas 12 tahun bergelar pelakon, Sara Ali, 34, akhirnya mengambil keputusan untuk ‘berguru’ bagi memantapkan mutu lakonannya.
Sara atau nama penuhnya, Siti Sarah Hairi Ali berkata, keputusan itu juga diambil sebagai persediaan untuk membawakan watak Sarimah dalam filem Bisikan Dosa yang bakal ditayangkan tahun depan.
“Saya ikut kelas lakonan yang dikendalikan pelakon Farah Ahmad selama tiga hari sebelum penggambaran filem Bisikan Dosa bermula.
“Bagi saya, karakter Sarimah ini berat kerana emosinya terlalu dalam. Saya sudah buntu memikirkan method apa lagi yang boleh saya gunakan untuk hidupkan watak ini.
“Sebab itu saya belajar dengan Farah untuk mencari method lain dalam lakonan,” kongsinya.
Sara ditemui media ketika sesi penggambaran filem berkenaan yang diadakan di Kuang, baru-baru ini.
Filem seram arahan Faizul A. Rashid itu turut menampilkan Farid Kamil, Uqasha Senrose, Juliana Evans dan ramai lagi.
Kata Pelakon filem Kami Histeria itu lagi, meskipun sudah berpengalaman dalam bidangnya, dia merasakan masih ada keperluan untuk menyertai kelas lakonan untuk mengasah kebolehan sedia ada.
“Pelakon akan terperangkap dalam zon selesa apabila mereka berkecimpung terlalu lama dalam bidang ini.
“Keadaan itu menimbulkan kebuntuan kerana kita tidak tahu cara apa lagi yang boleh digunakan untuk menghidupkan watak yang dibawakan.
“Terus terang saya kata saya agak risau apabila diberikan watak yang berat seperti Sarimah ini. Memang saya mahukannya, tapi dalam masa saya risau juga untuk melakonkannya.
“Kerana itu, pelakon, baru atau lama, kena terus berguru,” katanya lagi.
Mengulas perkembangan lain, Sara memaklumkan bakal memulakan percubaan sebagai pengarah menerusi sebuah klip video yang penggambarannya bakal bermula tidak lama lagi.
“Penggambarannya bermula sekitar bulan ini, melibatkan muzik video untuk sebuah kumpulan tempatan.
“Saya mahu tengok sejauh mana saya boleh mengarah. Kerana itu saya kena mulakan sesuatu, mungkin dengan muzik video, kemudian filem pendek,” kongsinya.