KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Fizz Fairuz menasihatkan pelakon baharu dan meningkat naik agar tidak bersikap manja dan mudah mengadu domba sekiranya dimarahi di set penggambaran.
Kata beliau, mereka harus kental dalam berdepan perkara sedemikian.
Malah katanya, pengalaman itu membantu seseorang anak seni menjadi pelakon yang hebat dan dihormati.
“Saya dahulu puas terima makian, dicampak skrip ke arah muka saya. Pernah dulu saya dimarahi, ditampar pelakon senior. Tapi hari ini, jadi ‘orang’ atau tidak?
“Buli di set penggambaran adalah perkara biasa. Kalau mahu jadi pelakon, kenalah hadap semua itu.
“Pada saya itu satu pembelajaran yang berguna untuk saya pada hari ini,” kongsinya yang ditemui pada program Intuisi Emas Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pelakon baharu yang mengaku berdepan masalah buli di set penggambaran.
Kata Fizz lagi, pengarah atau pelakon senior tidak sewenang-wenangnya ‘naik hantu’ di set penggambaran.
Pada pandangan beliau, ada sebab yang membuatkan mereka bersikap demikian.
“Apabila kita dibayar untuk berlakon, buatlah kerja dengan betul dan ikutlah peraturan.
“Jagalah waktu bekerja, hafal skrip dan buatlah persediaan sebelum masuk ke set penggambaran.
“Saya dahulu pun dimarahi kalau tak hafal skrip sebelum berlakon.
“Kepada pelakon baharu, jangan manja sangat. Pengalaman ini semua akan membuatkan kita kekal lama. Kalau tak boleh hadap, buat kerja lain” kongsinya.