KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disiasat polis kerana didakwa memijak pelajar junior sehingga retak tulang rusuk dan tulang belakang dalam insiden 21 Oktober lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kertas siasatan kes terbabit yang dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menerima arahan lanjut.
“Kita (polis) sudah menerima arahan AGC untuk membuat pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Jalan Duta pada esok, 22 November (Jumaat) pukul 9 pagi,” katanya kepada media di sini hari ini.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan pelajar itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kata Rusdi, sepanjang siasatan polis telah memanggil dan merakam keterangan seramai 16 saksi.
Pada Ahad 10 November, Rusdi mengesahkan polis menerima laporan pada 8 November lalu mengenai kejadian pelajar UPNM cedera akibat didera. – UTUSAN