Pelajar seberang Sungai Golok disyor tinggal di asrama - Fadhlina

Pelajar seberang Sungai Golok disyor tinggal di asrama – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengesyorkan 104 pelajar yang menyeberangi Sungai Golok, Kelantan menerusi pangkalan haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang untuk ditempatkan di asrama.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan keluarga untuk menempatkan pelajar berkenaan di asrama dengan perkara itu hendaklah diselesaikan menjelang Disember ini.

Katanya, selain itu beberapa mekanisme sudah pun ditetapkan yang menjadi pertimbangan bagi menangani isu berkenaan untuk memastikan akses pendidikan murid berkenaan tidak terganggu termasuk keselamatan terjamin.

“Anak-anak ini telah pun kita kenal pasti dan kita telah membuat tindak susulan. Pertama, perbincangan dengan waris untuk menempatkan mereka di asrama.

“Ini bagi saya perlu disegerakan bagi memastikan proses yang disebut oleh pihak keselamatan mesti diselesaikan sebelum 1 Disember.

“Jadi, kita telah mengambil pendekatan menyediakan, menguraikan mereka dalam bentuk menempatkan mereka di asrama dan kenal pasti asrama yang boleh mereka tinggal untuk keselamatan dan meneruskan pendidikan mereka,” katanya selepas melancarkan Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan 2024, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Tinjauan mendapati seawal 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 menerusi lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.

Menurut Fadhlina, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan diarahkan untuk memastikan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengenalpasti asrama yang boleh digunakan.

Katanya, tindakan tegas juga diambil dengan memastikan pelajar menyeberangi ke Rantau Panjang dari Thailand hanya menggunakan laluan dan pas yang sah.

“Tapi kita juga telah mengambil tindakan tegas untuk memastikan bahawa, jika ada keperluan menyeberangi pun mereka harus melalui laluan yang sah dan menggunakan pas yang sah,” katanya.

Beliau menambah, isu asrama perlu diselesaikan segera bagi memastikan tidak timbul isu berkaitan keselamatan selepas 1 Disember nanti.

“Insya-Allah dalam perkiraan dan juga tindakan kita, saya harap dapat diselesaikan kerana bilangan murid itu tidak ramai di bawah kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya