Pelajar rayu longgar rentas Sungai Golok

Pelajar rayu longgar rentas Sungai Golok

PELAJAR yang tinggal di selatan Thailand, menggunakan perahu di pengkalan haram, menyeberangi Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pelajar warganegara Malaysia yang tinggal di Thailand merayu pihak berkuasa negara ini memberikan kelonggaran merentas Sungai Golok menggunakan pangkalan haram bagi memudahkan mereka untuk ke sekolah di sini.

Rata-rata pelajar yang ditemui Utusan Malaysia memberitahu, larangan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk berulang-alik ke sekolah selain tidak mempunyai kenderaan bagi memudahkan urusan.

“Jarak rumah dengan pangkalan haram sekitar 500 meter sahaja, jadi saya boleh berjalan kaki. Jika guna laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ayah atau ibu perlu menghantar untuk urusan cop pas sempadan.

“Selepas itu saya terpaksa berjalan sejauh 2.5 kilometer. Keadaan itu memberikan kesukaran kepada saya termasuk kawan-kawan lain. Lagipun, kami bukanlah daripada keluarga yang berkemampuan,” ujar pelajar yang mahu dikenali sebagai Zie, 15.

Menurut Zie, dia turut bimbang akan terlewat ke sekolah jika pihak berkuasa tidak memberikan kelonggaran berhubung perkara tersebut.

“Macam saya mahu duduk asrama agak payah dan memerlukan perbelanjaan tambahan. Saya masih ada kakak, abang dan tiga lagi adik yang masih bersekolah di Rantau Panjang.

“Kalau kami semua duduk di asrama, sudah tentu sukar terutama adik yang masih berada di darjah satu,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Dian, 16, memberitahu, Disember ini dia akan menduduki peperiksaan akhir tahun dan berharap pihak berkuasa dapat memberikan kelonggaran.

Katanya, dia dan rakan-rakan yang tinggal di Thailand mulai buntu memikirkan perkara tersebut.

“Saya merayu kepada pihak berkuasa supaya melonggarkan peraturan ini kepada pelajar. Kami sedia patuhi segala arahan yang diberikan termasuk mengikut masa yang ditetapkan asalkan dapat ke sekolah melalui Sungai Golok,” ujarnya.

Sementara itu seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Lie mendedahkan ada dalam kalangan mereka mula terfikir untuk menghentikan persekolahan anak-anak sekiranya tiada kelonggaran.

“Kebanyakan ibu bapa hanya mempunyai motosikal. Bayangkan dalam satu-satu masa mereka perlu membawa empat anak untuk urusan cop pas sempadan atau pasport dan situasi itu pasti menyusahkan kami.

“Jadi berilah kelonggaran untuk pelajar, kami ibu bapa sedia patuhi segala peraturan. Aktiviti rentas ini sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu lagi dan sudah sebati dengan kami,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, arangan aktiviti rentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini kekal dan terpakai kepada semua penduduk termasuk pelajar.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak bagaimanapun berkata, mekanisme itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya