GEORGE TOWN : Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Jelutong di sini, maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan sekolah, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 5.57 petang mengenai kejadian itu.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian dan badan si mati mendapati, tidak wujud unsur jenayah dalam kes ini.
“Sehubungan itu, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kes ini,” katanya di sini, tengah malam tadi.
Dalam pada itu, Abdul Rozak memberitahu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
“Pada masa yang sama, polis juga meminta orang ramai agar tidak menularkan gambar-gambar atau video-video tempat kejadian bagi menghormati perasaan waris si mati,” katanya.-UTUSAN