KEMAMAN: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih maut manakala adiknya cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah lori di atas Jambatan Felda Seberang Tayor, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang, Muhammad Aidiel Iqwal Hamidi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di bahagian kepala.
Adiknya, Muhammad Farish Irsyad, 10, yang turut cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, difahamkan ketika kejadian dua beradik itu sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Felda Seberang Tayor.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Muhammad Aidiel Iqwal secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori jenis Isuzu.
“Lori tersebut diparkir di lokasi kejadian berikutan kawasan kampung itu dinaiki air,” katanya.
Hanyan berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala adiknya yang cedera di bahagian kepala turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.– UTUSAN