Pelajar IKM Sungai Petani hilang ditemui di tepi jalan

Pelajar IKM Sungai Petani hilang ditemui di tepi jalan

AZHARI Othman (kanan) mententeramkan anaknya Muhammad Alif Danial yang ditemui petang semalam selepas dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pelajar semester akhir Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah ketika menuju ke pusat pengajian Selasa lalu, ditemui di Gurun, petang semalam.

Azhari Othman, 56, berkata, anaknya, Muhammad Alif Danial, 21, ditemui sedang berjalan kaki dalam keadaan menangis oleh tiga rakan sepengajiannya berdekatan sebuah bangsal terbiar di Jalan Gurun-Sungai Petani, kira-kira pukul 3.30 petang.

“Salah seorang pelajar itu menelefon saya memaklumkan melihat Muhammad Alif dalam keadaan kusut masai sebelum saya bergegas ke lokasi itu bersama dua adik ipar.

“Sewaktu kami sampai, anak dalam keadaan trauma dan tidak banyak bercakap sebaliknya memaklumkan dia baru ditinggalkan di situ tetapi tidak ingat apa yang berlaku kepadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pokok Tai, Jenun semalam.

Kata Azhari, semasa ditemui anaknya berada dalam keadaan separuh sedar, banyak mendiamkan diri dan tidak henti-henti menangis menyebabkan dia terpaksa memujuknya sebelum ke Balai Polis Bukit Jenun untuk membuat laporan.

“Sebelum bergerak balik saya sempat berbual dengan pelajar yang menemui Muhammad Alif dan mereka kata anak saya memberitahu bahawa dia diculik, motosikalnya dilarikan bersama kad ATM.

“Namun, semasa saya menyoalnya dia menjawab tidak ingat kejadian itu dan apabila tiba di rumah dia dalam keadaan tidak bermaya sebelum saya bawanya ke Hospital Yan untuk diberikan rawatan,” katanya yang akan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu ibu Muhammad Alif, Saripah Mohamad Nor, 53, bersyukur kerana anak ketiganya itu ditemui selamat walaupun masih lemah dan tidak bermaya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kebimbangan seorang bapa selepas anak lelakinya yang menunggang motosikal jenis SYM ke tempat pengajiannya di IKM Sungai Petani tidak pulang ke rumah seperti biasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya