Tujuh orang pelajar yang mengambil pengajian dalam kursus penyiaran teruja apabila dipilih memasuki GiatMara Pasir Gudang, Johor.
Bidang yang banyak memberikan ilmu mengenai teknik penggambaran dan rakaman itu antara sebab mengapa kursus tersebut menjadi pilihan mereka.
Tenaga pengajarnya Mohd. Nur Aizzat Ahmad Nawawi, 32, berkata, bidang penyiaran ini antara kursus pilihan remaja yang berumur 16 tahun ke atas.
“Kebanyakan mereka yang memilih jurusan ini adalah kalangan remaja yang tidak menyambung pelajaran tetapi memilih bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) .
“Pelajar yang mengikuti kursus ini diberi pendedahan bermula daripada memegang kamera sehingga menjalani latihan praktikal,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurutnya, pelajar yang mengikuti kursus tersebut akan menjalani latihan selama enam bulan secara intensif.
Mereka akan dibimbing cara penggunaan aksesori kamera, penulisan skrip, membuat siaran langsung, membuat rakaman dalam talian dan suntingan.
“Apabila tamat kursus selama enam bulan nanti, pelajar akan menerima sijil professional GiatMara.
“Ada dalam kalangan pelajar berjaya setelah keluar daripada GiatMara, antaranya seorang bekas pelajar yang bekerja dengan produksi penyiaran luar negara ada menjadi usahawan dan menjadi suntingan kesan khas,” jelasnya.
Seorang peserta kursus, Aqila Jamaludin 16 dari Taman Bayu Puteri berkata, dia memilih untuk mengikuti kursus penyiaran kerana terlalu minat dengan teknik penggambaran.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dalam Tingkatan Empat dan mengikuti kursus di GiatMara Pasir Gudang.
“Saya tidak menyesal berhenti sekolah awal, kerana percaya kursus ini bakal memberi peluang pekerjaan dan menjadi pempegaruh (influencer),” katanya.
Ifnie Qayyum Aswadi 15, bekas pelajar SMK Tanjung Gemuk Pahang berkata, dia nekad berhenti sekolah dan sanggup berhijrah ke Johor Bahru semata-mata mahu mempelajari bidang penyiaran.
Menurutnya dia berminat sejak dari kecil apabila melihat tugas jurukamera mengendalikan sesuatu acara.
“Apabila saya tamat belajar, dan mendapat sijil profesional saya bertekad menjadi seorang pempegaruh yang berjaya seperti menjual barangan secara dalam talian.
“Dengan kemahiran yang saya pelajari membolehkan saya mengendalikan program sendiri satu hari nanti,” katanya kepada Utusan Pelajar. – UTUSAN