PADANG BESAR: Projek Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang dijangka beroperasi Julai tahun depan bakal memperkukuhkan logistik dan meningkatkan perdagangan serantau.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain itu, inisiatif kerjasama antara Perlis Inland Port, Pelabuhan Pulau Pinang dan Asosiasi Depo Kontainer Indonesia (ASDEKI) juga berupaya menghidupkan kerjasama ekonomi antara wilayah yang telah sekian lama diusahakan melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Katanya, apabila projek PIP dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) siap dibangunkan, kerajaan negeri bersedia untuk memainkan peranan lebih besar sebagai tuan rumah kepada kargo Sumatera yang akan dieksport ke Bangkok, Vientiane, Laos dan Kunming, China dengan kombinasi mod laut dan rel.
“Selain itu, kargo dari China pula dapat turun semula ke Perlis dan diagihkan kepada wilayah-wilayah serantau khususnya Sumatera dan Semenanjung Malaysia dengan lebih cepat dan harga yang kompetitif.
“Malah, kerajaan negeri juga boleh menjadi hab kargo dari Eropah untuk ke ASEAN melalui laluan rel,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PIP dan Pelabuhan Pulau Pinang serta majlis penyerahan memorandum kolaborasi (MOC) antara Mutiara Perlis & Asosiasi Kontainer Indonesia (ASDEKI) di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) CVIA di sini, hari ini.
Kerjasama menerusi MoU dan MOC tersebut bertujuan bagi memperkukuhkan komitmen bersama dalam meningkatkan perdagangan serantau, merasionalisasi logistik dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam koridor logistik ASEAN.
MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Sasedharan Vasudevan manakala MOC ditandatangani oleh Presiden ASDEKI, Khairul Mahalli. – UTUSAN