JEMPOL: Seorang pekerja ladang didakwa di Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kakak iparnya dalam kejadian di Felda Gugusan Palong di sini, hujung bulan lalu.
Tertuduh berusia 24 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu telah menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6 petang di sebuah bilik di dalam sebuah rumah di Felda Gugusan Palong, di sini, pada 30 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib memohon satu sebutan semula bagi lantikan peguam dan menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 selain syarat tambahan agar tertuduh tidak berjumpa dan berkomunikasi dengan mangsa.
Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lee Ee San memohon agar wang jaminan dikurangkan.
Majistret kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang berjumpa, berhubung dengan mangsa dan juga keluarganya sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 16 Disember ini bagi lantikan peguam.
Pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, mangsa yang baharu sebulan tinggal bersama ibu mentua telah dicabul oleh adik iparnya di dalam sebuah bilik.
“Mangsa berada di dalam bilik. Adik iparnya masuk ke dalam bilik dan memeluk mangsa daripada belakang serta menyentuh bahagian tidak sepatutnya, sebelum suspek keluar dari rumah menaiki motosikal.
“Suspek juga mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan saringan awal urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.-UTUSAN