ALOR GAJAH: Perjalanan pulang seorang pekerja sebuah syarikat kontraktor berakhir tragedi apabila dia maut dirempuh pemandu yang dipercayai mabuk dalam nahas di Jalan Jeram, Masjid Tanah di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Masjid Tanah menghala ke Kuala Sungai Baru.
“Setibanya di lokasi, sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun yang datang dari arah bertentangan, masuk ke laluan mangsa dan merempuhnya.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak tepi jalan dalam keadaan tidak bernyawa manakala pemandu kereta dikejarkan ke Zon Merah Hospital Alor Gajah berikutan kecederaan parah di kepala,” katanya.
Tambah Ashari, pemandu kereta dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan sampel darahnya diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan kandungan alkohol dan dadah.
Bagaimanapun siasatan lanjut di lokasi mendapati nahas berlaku di jalan berselekoh dan laluan garisan berkembar manakala cuaca dalam keadaan baik.
Semua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN