JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Sri Lanka maut setelah terjun dari jejantas yang menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki itu bertindak demikian apabila cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 4.48 petang itu, mangsa berusia 30-an maut di tempat kejadian.
“Mangsa terjatuh ke atas sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang melalui kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323. – UTUSAN