GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang dituduh membunuh dua beranak di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam di sini, Khamis minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Farhan Izzuddin Rosman, 32, berdepan dua pertuduhan iaitu membunuh Siti Zulaila Zulkifli, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Difahamkan, prosiding kes berkenaan terpaksa dijalankan di wad C6 di HPP secara tertutup memandangkan tertuduh masih lagi menerima rawatan ketika ini.
Ketika kedua-dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya, tertuduh hanya mengangguk tanda faham. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dituduh membunuh Zulkifli Ibrahim manakala bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh membunuh Siti Zulaila Zulkifli.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 12.54 tengah hari hingga pukul 1.25 petang, di hadapan lif blok 1, Sri Ivory Apartment, Jalan Lengkok Angsana, Ayer Itam, di sini pada 7 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Pendakwaan kes tersebut dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini. Mahkamah menetapkan 15 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, maut selepas ditikam seorang pemuda menggunakan pisau sebelum suspek bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.
Suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang Siti Zulaila tidak membalas cintanya. – UTUSAN