TELUK INTAN: Seorang pekerja kantin sekolah didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dua minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Zulhakimi Husaini Zulkifli, 22, yang diwakili peguam, Faustina Francis bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dengan cara meraba dan memegang buah dada mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di simpang tiga, Jalan Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai di sini 1.30 tengah hari, 10 November lalu.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektpr Nur Aina Liyana Mohd Talal.
Hakim Norhamizah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes tersebut selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 23 Disember depan. – UTUSAN