JEMPOL: Seorang pekebun sayur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini atas pertuduhan mengedar kanabis seberat lima kilogram (kg), di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Lwy Yong Pang Wei, 33, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Norhazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati mengedar bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis dengan anggaran berat 5,000 gram kira-kira pukul 8.10 malam di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Bahau, di sini pada 25 Oktober lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib kemudiannya memohon tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Majistret kemudiannya menetapkan 11 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi keputusan kimia.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof dilaporkan berkata, polis menangkap seorang lelaki dan merampas ketulan mampat ganja seberat lebih 13 kg dalam penangkapan di Bahau, Jempol.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, telah menjumpai lima ketulan mampat yang berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 5,000 gram.
“Seterusnya, hasil tindakan susulan pemeriksaan di rumah suspek di Labis, Johor telah menjumpai sembilan ketulan mampat bersama sepeket peket plastik lutsinar yang berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 8,721 gram (8.721 kg).
“Jumlah keseluruhan anggaran berat rampasan dadah ialah 13,721 gram. Susulan penangkapan ini, jumlah keseluruhan nilai rampasan ganja dan sitaan adalah sebanyak RM44,425.10,” katanya. – UTUSAN