Pejuang kanser hidung tidak patah semangat gengam ijazah - Utusan Malaysia

Pejuang kanser hidung tidak patah semangat gengam ijazah

ZAINI Md. Salis,46, (kiri) yang berjuang dengan kanser hidung bergambar bersama ibunya Sarfah Mahat,69, sempena Konvokesyen Unimap Ke-19 di Dewan Ilmu, Pauh Putra, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Biarpun pernah disahkan mengidap kanser pangkal hidung tahap tiga namun dugaan itu tidak mematahkan semangat Zaini Md. Salis, 46, untuk cemerlang dalam bidang akademik bagi mengengam segulung ijazah.

Sebelum ini, pelbagai cabaran dihadapi Zaini bagi meneruskan perjuangannya dalam menamatkan pengajian Bacelor Pengurusan Fasiliti di Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

Malah, ketika menduduki peperiksaan semester akhir pada Jun lalu, Zaini juga sedang menjalani rawatan kimoterapi susulan penyakit itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaini berkata, walaupun ditimpa ujian, dia terpaksa mengagahkan diri bagi menamatkan pengajian biarpun pada ketika itu perlu menghabiskan kitaran rawatan kimoterapi sebanyak 33 kali.

“Walaupun keadaan kesihatan tidak begitu baik, saya tetap gagahkan diri kerana bimbang tidak dapat menamatkan pengajian memandangkan sudah memasuki semester akhir,” katanya ketika ditemui selepas sidang kelapan Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-19 di sini, semalam.

Tambah ibu kepada dua anak itu, sewaktu diuji dengan dugaan berat itu, dia mendapat sokongan kuat daripada ahli keluarga khususnya suami, Suffian Sidek, 47, yang sentiasa memberi dorongan semangat kepadanya.

Ujarnya, dia juga banyak mengulang kaji pelajaran sewaktu menjalani proses rawatan kesihatannya sebelum ini agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

“Alhamdulillah, hasil daripada berkat kesabaran, saya mampu menamatkan pengajian ini berkat sokongan kuat ahli keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini berkata, keadaan kesihatannya kini juga semakin pulih malah dia juga sedang berada dalam fasa pemulihan selepas rawatan radioterapi pada Ogos lepas.

Tambahnya, dia juga mempunyai perancangan bagi mengembangkan lagi perusahaan syarikat kejuteraan elektrik miliknya selepas ini.

“Saya menyambung pengajian memang bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya