SUNGAI PETANI: Seorang anggota tentera dan peniaga telur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di kedai peralatan memancing, 10 November lalu.
Tertuduh, Pegawai Waran II Mohd. Rasidi Mohd. Yunus, 43, dan Abu Bakar Safar, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mereka dituduh secara bersama melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sepucuk pistol di kedai alat memancing Perniagaan Cabaran Belantara, Jalan Lencongan Barat di sini, dengan mengambil 15 unit mesin pancing, 10 unit rod pancing dan wang tunai RM5,000 pada pukul 11 pagi, 10 November lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memohon jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh, namun kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu jaminan dikurangkan kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat dan menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN